SEPANG – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hari ini mengalami gangguan bekalan elektrik selama 10 minit disebabkan beberapa masalah teknikal di pencawang elektriknya.
Pengendali lapangan terbang itu, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berkata, kuasa sokongan telah segera diaktifkan pada kejadian pukul 2.35 petang itu dan bekalan elektrik untuk semua sistem penting di KLIA2 telah dipulihkan pada pukul 2.45 petang bagi memastikan operasi penerbangan dan urusan penumpang tidak terjejas.
“Bekalan elektrik telah pulih sepenuhnya di semua operasi KLIA 2 termasuk kedai runcit dan restoran pada pukul 4 petang,” kata MAHB dalam satu kenyataan hari ini.
“Punca gangguan sedang disiasat dan kami ingin meminta maaf atas sebarang ketidakselesaan yang disebabkan oleh gangguan bekalan kuasa tersebut,” katanya.
Difahamkan, tiada penerbangan ataupun penumpang yang terjejas di sepanjang gangguan bekalan elektrik tersebut. – Bernama










