Kit Siang dinasihat kritik kerajaan, bukan hanya kritik MCA - Utusan Malaysia

Kit Siang dinasihat kritik kerajaan, bukan hanya kritik MCA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Dis. – Datuk Seri Ti Lian Ker bimbang dengan sikap Lim Kit Siang yang masih lagi fobia, bahkan seolah-olah dihantui oleh MCA walaupun parti itu bukan lagi ancaman kepada DAP.

Naib Presiden MCA itu berkata, Kit Siang mempunyai peranan yang lebih besar iaitu menegur pentadbiran yang ada pada masa kini yang masih lagi banyak kelemahan.

“Saya kecewa dengan Kit Siang yang tidak lagi lantang mengkritik kerajaan sebagaimana yang dilakukan semasa berada di barisan pembangkang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah beliau, Kit Siang tidak seharusnya menutup mata dan mulut serta memekakkan telinga walaupun sedar pelbagai kelemahan kerajaan sehingga ke tahap menjejaskan ekonomi serta keharmonian negara.

“MCA akan terus memainkan peranannya hingga ke tahap walaupun tanpa kerusi dan pada masa berharap Kit Siang serta DAP juga mengambil sikap yang sama,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Lian Ker juga mendesak Kit Siang supaya memohon maaf kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana sejak berdekad pemimpin DAP tersebut telah melempar pelbagai tuduhan palsu kepada pemimpin negara itu.

“Ternyata pelbagai tuduhan Kit Siang selama ini adalah tidak benar, jika beliau tidak sanggup memohon maaf kepada Dr. Mahathir, Kit Siang perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Selepas Kit Siang membuat permohohan maaf itu, kata Lian Ker, barulah ahli politik veteran itu boleh menasihati MCA untuk memohon maaf kepada rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN