KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee menyifatkan hasrat untuk mengulangi pencapaian cemerlang pada kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak mustahil jika pelan perancangan yang cukup dan tersusun dapat dilaksanakn.
Kim Swee pernah melakar sejarah dalam bola sepak remaja negara apabila membantu pasukan muda layak ke suku akhir AFC B-23 di China dalam penampilan sulung, Januari lalu.
Kini, jangkaan peminat menanti sekali lagi buat pasukan negara untuk layak secara merit apabila mereka diundi bersama China, Laos dan Filipina pada pusingan kelayakan di ibu negara tahun depan.
Mengulas mengenai peluang pasukan negara, Kim Swee mengakui bahawa beliau kekal optimis dengan keupayaan anak-anak buahnya mengulangi sentuhan terbaik pada pusingan kelayakan.
“Saya tidak memikirkan semua itu kerana fokus ialah persiapan sebelum menyertai kejohanan. Saya tahu harapan peminat cukup tinggi dan penting saya katakan kita perlu membuat persiapan yang rapi.
“Saya tidak tahu bagaimana perlawanan akan berlaku, tetapi kita bermain di laman sendiri. Sudah pasti memberikan kelebihan buat kita,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Pasukan muda negara bakal memulakan persiapan dengan menghadapi Kejuaraan Piala Newspaper B-21 dan mereka akan berlepas ke Vietnam pada 10 Disember sebelum kembali ke tanah air pada 19 Disember ini.
Kali terakhir Malaysia bertanding pada Piala Newspaper adalah pada tahun 2014. Malaysia juga berjaya menjulang kejuaraan tersebut pada tahun 2012, ketika itu di bawah kendalian Kim Swee.
Tambah Kim Swee, beliau lebih berminat untuk melihat perkembangan pemain-pemain baharu dipanggil menyertai pasukan kebangsaan berbanding memikirkan sentimen Vietnam terhadap Malaysia.
Sebagai rekod, Vietnam berjaya layak ke pusingan akhir AFC B-23, tetapi tewas kepada Uzbekistan 1-2 pada masa tambahan.
“Saya tidak mahu membandingkan bola sepak Vietnam dengan Malaysia kerana saya mahu tumpukan kepada persiapan kita ke pusingan akhir AFC B-23 di Thailand nanti.
“Jadi, fokus saya kepada pemain-pemain dan prestasi pasukan. Sudah tentu kita mahukan keputusan positif bermain di sana, tetapi pada masa sama kita perlu merancang dengan baik pembangunan pasukan muda negara,” katanya.










