KUALA LUMPUR 11 Dis. – Selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terhadap isu kedudukan kewangan Tabung Haji, pandangan serupa turut disampaikan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Isu TH: ada dua laporan audit yang bercanggah. Satu yang disediakan oleh EY dan disahkan Jabatan Audit Negara yang diguna oleh pengurusan lama. Satu lagi yang disediakan oleh PWC yang dilantik selepas 9 Mei.
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) December 11, 2018
Jelas Khairy, isu Tabung Haji sangat sensitif kepada umat Islam dan hanya menerusi penubuhan RCI dapat mencari kebenaran dan kepastian berhubung isu tersebut.
Katanya lagi, RCI itu juga perlu ditubuhkan dengan segera untuk melihat semula audit yang disediakan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Ernst & Young (EY).
“PWC dan EY adalah antara dua firma audit terbesar di dunia, siapa betul, siapa salah? Memandangkan isu Tabung Haji sangat sensitif kepada umat Islam saya setuju dengan pendirian Mohamad dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa satu Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan dengan segera untuk melihat semula audit yang disediakan oleh EY dan PWC.
“Hanya dengan cara ini dapat kita bertemu kepastian dan kebenaran yang semakin tenggelam dalam kebisingan suara tuduhan di media sosial akibat pendedahan ini,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya, hari ini.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu juga berkata, siasatan tersebut juga boleh mengambil kira semua fakta termasuk amaran yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia beberapa tahun dahulu.
“Kita berharap dapat merujuk perkara ini kepada siasatan bebas yang boleh melapor semula ke Parlimen dalam tempoh tiga bulan,” katanya. – UTUSAN ONLINE









