KUALA LUMPUR 5 Dis. – KFC Malaysia dan syarikat perkongsian kereta, SOCAR menjalin usaha sama dalam memperkenal gaya hidup perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain secar a fleksibel (multiflex) melalui kemajuan mobiliti pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Malaysia, Leon Foong berkata, SOCAR bersama KFC giat bekerjasama memperluas komuniti multiflex dengan memudahkan perkongsian kereta di beberapa zon SOCAR terbaharu di restoran strategik KFC terlibat sekitar Lembah Klang dan Johor Bahru.
Katanya, menerusi usaha sama itu, kedua-dua pihak akan memperkenalkan 12 lagi zon SOCAR beserta beberapa ganjaran menarik untuk dinikmati pelanggan bermula 5 Disember hingga 28 Februari 2019.
“Dengan SOCAR berada di lebih daripada 470 lokasi, pemilikan kereta tidak lagi menjadi keperluan bagi pengguna. Perkongsian kami dengan KFC menunjukkan betapa mudahnya bagi multiflexers untuk mendapatkan satu bucket KFC kegemaran mereka dan berkongsi dengan rakan-rakan dan keluarga tanpa perlu bergantung kepada kereta peribadi mereka,” katanya pada pelancaran zon SOCAR di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil.
Sementara itu, Mohamed Azahari berkata, KFC berhasrat menjadi peneraju dalam menyediakan perkhidmatan berinovatif bagi memberi manfaat kepada para pelanggan.
“Perkongsian kereta adalah sebahagian daripada gaya hidup moden kontemporari dan ia semakin diterima baik oleh masyarakat di Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, kami menggalakkan kemajuan mobiliti pintar yang kami percaya akan memainkan peranan penting dalam kehidupan pada masa hadapan,” katanya.
Antara manfaat yang ditawarkan termasuklah diskaun RM40 untuk tempahan SOCAR dengan pembelian KFC dalam talian bernilai RM40, diskaun 20 peratus bagi tempahan kereta yang dibuat di cawangan KFC terlibat, serta baucar tiga jam percuma untuk tempahan SOCAR bagi di saluran KFC terpilih di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.










