ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan latihan sebanyak RM75,000 yang dikenakan kepada pasukan baharu yang bakal menandatangani kontrak dengan penyerang skuad Helang Merah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid.
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris (gambar kecil) menyifatkan jumlah itu tidak sepadan kerana pihaknya telah melakukan yang terbaik untuk menggilap bakat pemain terbabit sejak dia menyertai program Kenari Kids lagi.#”Adakah pemain yang kita latih bermula dengan Kenari Kids sehinggalah bermain di peringkat antarabangsa hanyalah bernilai RM75,000. Adakah ia berbaloi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program The Exotic Kebaya Queen Malaysia di Hotel Royal Signature di sini semalam.
Justeru, kata beliau, pihaknya bercadang untuk menemui Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Michael Ramalingam untuk berbincang mengenai nilai pampasan tersebut.
Jawatankuasa Status FAM pada Isnin lalu mengumumkan mesyuarat kali kesembilan bagi penggal 2017-2021 memutuskan Muhammad Akhyar dibenarkan untuk menebus kontrak bersama Kedah dengan bayaran nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000.
Justeru, mana-mana pasukan yang menandatangani kontrak pemain itu dikehendaki membayar kepada responden iaitu KFA sebanyak RM75,000 sebagai pampasan latihan.
Muhammad Akhyar yang sebelum ini dikatakan dilamar Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa kesnya ke FAM selepas gagal mencapai persetujuan bersama KFA berhubung kontraknya yang masih berbaki setahun. – K! ONLINE










