KOTA TINGGI – Seorang ketua jurutera sebuah kapal perikanan warganegara China didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memasuki perairan perikanan negara tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa bulan lalu.
Hakim Zahilah Mohammad Yusoff turut memerintahkan tertuduh, Tang Tuanqi, 44, dipenjara hukuman penjara selama empat bulan jika tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Tuanqi yang bertugas sebagai ketua jurutera di atas vesel perikanan Fu Yuan Yu 817 bertindak sebagai Nakhoda kapal tersebut berikutan ketiadaan Nakhoda sebenar.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985.
Terdahulu, kapal nelayan laut dalam tanpa muatan terbabit ditemui berada di kedudukan 3.5 batu nautika timur Tanjung Penyusup dengan membawa 10 kru warga China pada 25 November lalu. – K! ONLINE









