SEREMBAN 12 Dis. – Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO perlu menerima tindakan para pemimpin di Sabah yang keluar dari parti itu secara beramai-ramai hari ini dengan terbuka dan rasional.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, semua pihak harus berlapang dada dan tidak melenting serta beremosi dengan keputusan yang dibuat pemimpin terbabit.
“Isu ini melibatkan kesetiaan dan kebersamaan. Kedua-dua perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa dan dijual beli. Ia mesti hadir dengan keterbukaan dan secara sukarela.
“Saya menyarankan semua pendukung UMNO terus menjalinkan hubungan dengan pemimpin di Sabah dan Sarawak walaupun tidak lagi dalam parti yang sama. Silaturahim dan perjuangan antara pemimpin Melayu Semenanjung dan pemimpin bumiputera Sabah dan Sarawak mesti diteruskan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohamad berkata, beliau yakin sekiranya UMNO dapat menguasai semula kawasan Parlimen Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, parti itu boleh bergabung dengan pemimpin di dua negeri itu untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
“Saya akui ada kebenarannya bahawa UMNO mesti mengelakkan parti ini daripada menjadi semakin kecil dan lemah. Tetapi proses ini tidak boleh berlaku dengan cara yang memaksa kita membuat musuh baharu dan kehilangan rakan sedia ada.
“Yang pasti, agenda memulih dan menguatkan kembali UMNO akan terus diusahakan sehingga parti ini kembali diyakini,” katanya.
Ujarnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin Sabah yang keluar dari UMNO atas sumbangan dan jasa kepada parti itu, orang Melayu dan bumiputera di negeri itu selama ini.











