IPOH 12 Dis. – Hasil bedah siasat ke atas enam mangsa kebakaran di sebuah rumah kedai di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju semalam mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh kesan melecur pada tubuh badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, mengikut maklumat pegawai forensik, hampir 80 ke 90 peratus kesan melecur akibat kebakaran serius pada tubuh badan mangsa itu adalah disebabkan oleh kesan terbakar.
“Kesan terbakar itu mungkin disebabkan mayat itu kebanyakannya ada kesan ‘gun powder’ atau mungkin disebabkan belerang bahan letupan, cetusan daripada bunga api yang menjadi punca letupan.
“Walau bagaimanapun, laporan penuh bedah siasat akan kita terima dalam masa terdekat dan akan diserahkan kepada pihak pegawai penyiasat,” katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Yahya berkata, hasil siasatan mendapati, salah seorang daripada si mati yang berusia 40 tahun merupakan pemilik premis sementara seorang lagi mangsa sudah agak lama bekerja di situ.
Menurut beliau, empat lagi mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menglembu yang baru bekerja pada hari pertama, berkemungkinan mencari wang saku pada cuti sekolah secara sambilan.
“Kita juga akan memanggil syarikat pakar bahan letupan yang terletak selang satu pintu daripada tempat kejadian. Kita sudah kenal pasti (pemiliknya) dan dia akan beri keterangan esok.
“Kita hendak tahu apa hubungan antara beliau yang ada lesen mengimport bahan bunga api dan letupan ini dengan premis yang meletup semalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE










