Kes Muhammad Adib kini disiasat sebagai bunuh - Utusan Malaysia

Kes Muhammad Adib kini disiasat sebagai bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 17 Dis. – Siasatan kes anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur malam ini kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab dalam kenyataannya malam ini berkata, sebelum ini kes Muhammad Adib disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan ekoran kecederaan yang dialaminya dalam insiden rusuhan pada 27 November lalu.

“Kini selepas kematiannya kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

Muhammad Adib yang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) meninggal dunia pada pukul 9.41 malam ini.

Pada 11 Disember lalu, IJN memaklumkan Muhammad Adib tidak lagi memerlukan mesin ECMO untuk membantu pernafasannya.

Selain itu, pasukan doktor di IJN juga mengalihkan mesin sokongan jantung selepas jantungnya boleh berfungsi de­ngan sendiri pada awal bulan ini namun beliau dilaporkan kembali kritikal semalam.

Muhammad Adib yang cedera parah dibelasah dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya dekat sini pada 27 November lalu sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 23 Disember ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN