BENTONG 16 Dis. – Sebanyak 309 kes kecurian direkodkan di daerah ini sehingga bulan lalu berbanding hanya 103 kes dalam tempoh sama tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Shahril Ab. Rahman berkata, peningkatan sebanyak 206 kes itu melibatkan pelbagai kes kecurian termasuk di pusat beli-belah, kecurian besi, bateri lama dan hasil kelapa sawit.
“Tahun ini menyaksikan peningkatan mendadak kes kecurian yang mana 50 peratus daripadanya melibatkan kecurian dalam bangunan khususnya di Genting Premium Outlet (GPO) selain mencuri besi, bateri lori dan kelapa sawit.
“Kes ini disebabkan kecuaian mangsa sendiri yang memberikan peluang kepada suspek terlibat untuk mencuri seperti meninggalkan barang berharga di kawasan berisiko dicuri,” katanya dalam sidang akhbar pada Hari Bertemu Pelanggan dan program diskaun saman Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Shahril, kes kecurian yang dikategorikan sebagai lain-lain kecurian itu berpunca kecuaian mangsa sendiri dan tidak melibatkan kes samun bersenjata atau pecah rumah.
Tegasnya, polis terus mempergiatkan pemantauan dan rondaan serta melaksanakan program pencegahan jenayah bagi menangani kes-kes berkenaan.
“Baru-baru ini polis mengadakan program pencegahan di GPO dan kita mendapati kecurian berlaku akibat kecuaian yang mana ada antara premis menggunakan alat penggera tidak berfungsi dengan baik,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kes kedua tertinggi peningkatan setakat ini melibatkan kecurian kereta yang meningkat lapan kes daripada 10 kes pada tahun lalu dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.










