KUALA LUMPUR – Kes penipuan berkaitan jenayah siber di Kuala Lumpur telah mengakibatkan kerugian berjumlah RM72.5 juta dengan kes yang dilaporkan sebanyak 1,201 sehingga November tahun ini.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2017 iaitu sebanyak RM35.1 juta dengan sebanyak 850 kes dicatatkan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, nilai tersebut dijangka akan terus meningkat sehingga penghujung tahun ini dengan empat jenis jenayah siber yang menjadi trend penipuan pada masa kini.
“Empat jenayah siber yang menjadi trend itu adalah Macau Scam, African Scam atau Love Scam, penipuan tawaran pinjaman tidak wujud dan Online Scam.
“Macau Scam mencatatkan jumlah kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM52.9 juta sehingga bulan November bersamaan 469 kes berbanding tahun lalu iaitu 346 kes.
“Diikuti Love Scam yang mencatatkan jumlah kerugian sebanyak RM13.4 juta dengan penurunan kepada 223 kes berbanding 281 kes pada tahun 2017,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Padu Banteras Jenayah Siber dengan kerjasama antara CIMB Bank dan Polis Kuala Lumpur di Menara CIMB, Jalan Raja Laut, di sini hari ini.
Kerjasama tersebut adalah untuk memberi kesedaran mengenai jenayah siber tersebut bagi memastikan masyarakat tidak menjadi sebahagian daripada mangsa jenayah berkenaan.
Menurut Mazlan, pihaknya meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai jenayah siber kepada balai polis berhampiran atau hubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 6245.
Selain nombor tersebut, orang ramai juga boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur di talian 03-2146 6245. – K! ONLINE










