KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada November lalu sudah diserahkan kepada Pihak Pendakwa Raya (DPP) Isnin lepas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohammad Fuzi Harun berkata, kertas siasatan yang diserahkan itu membabitkan kes rusuhan kuil serta siasatan Muhammad Adib.
Katanya, pihak polis kini sedang menunggu jawapan daripada DPP untuk tindakan lanjut.
“Siasatan berhubung rusuhan dan Muhammad Adib dibuat secara berterusan dan mereka yang bertanggungjawab dalam kes ini akan dibawa ke muka pengadilan,” katanya pada Majlis Raikan Cinta Raja Sehari Warga Polis Diraja Malaysia di Pulapol di sini hari ini.
Pada majlis itu seramai 20 pasangan diijab kabul pada sebelah pagi manakala majlis persandingan berlangsung tengah hari tadi.
Jelas Fuzi, pihaknya menerima sumbangan berjumlah RM100,000 daripada Bank Muamalat bagi majlis berkenaan.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid.
Mengulas mengenai laporan bedah siasat Muhammad Adib, Fuzi enggan mengulas sebaliknya memberitahu laporan rasmi bedah siasat itu belum diterima. – K! ONLINE










