Kertas siasatan pandu lawan arus di SKVE diserahkan kepada DPP esok - Utusan Malaysia

Kertas siasatan pandu lawan arus di SKVE diserahkan kepada DPP esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT – Polis telah melengkapkan kertas siasatan mengenai tindakan seorang pemandu lori tangki bermuatan bahan kimia yang memandu melawan arus di Kilometer 27 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritenden Azizan Tukiman berkata, sehubungan itu kertas siasatan terbabit akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) esok untuk tindakan lanjut.

“Kita akan serahkan kertas siasatan tersebut kepada DPP esok.

“Pemandu lori itu telah dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam selepas keterangannya diambil dengan keputusan air kencing dan alkohol adalah negatif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang Jumaat lalu, pemandu berusia 59 tahun lori itu telah bertindak memandu lori tangki bermuatan bahan kimia secara melawan arus di Kilometer 27, SKVE menghala ke Teluk Panglima Garang dekat sini.

Aksi pemandu tersebut kemudiannya tular susulan sebuah sebuah video berdurasi 1.11 minit yang dimuat naik di laman sosial Facebook sebelum ditahan 40 minit kemudian Kawasan Rehat Tanjung Dua Belas di sini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan berlaku akibat insiden tersebut dengan pemandu tersebut mempunyai satu saman sebelum ini atas kesalahan memandu menggunakan alat komunikasi.

Azizan menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN