KUALA LUMPUR 29 Dis. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyerahkan laporan siasatan berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada Isnin lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya kini sedang menunggu arahan lanjut daripada DPP dan dalam masa yang sama masih bertungkus lumus untuk memastikan kes diselesaikan segera.
“Bagi kes Allahyarham Muhammad Adib, kita masih belum terima laporan lengkap hasil bedah siasat dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kita harap masyarakat bersabar.

“Sehingga kini daripada 108 yang ditahan, 26 daripadanya sudah didakwa di mahkamah termasuk seorang pegawai syarikat pemaju One-City, dan minggu hadapan kita akan dakwa sebahagian besar lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Raikan Cinta Raja Sehari Warga PDRM di Pulapol di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










