UTUSAN: Apakah mesej utama yang dapat disampaikan selepas kejayaan penganjuran #DaulatHimpunan812 kelmarin?
MUHAMMAD KHALIL: Apa yang lebih penting mesej yang mahu disampaikan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa kami umat Islam dan bumiputera tidak akan berdiam diri jika hak-hak yang diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu disentuh oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dalam kerajaan PH.
Penganjuran #DaulatHimpunan812 mendapat pujian termasuk dari pihak berkuasa serta patut menjadi contoh kepada banyak pihak lain, apa komen saudara?
Isu yang ingin dinyatakan kami pada Sabtu lepas adalah isu teras kepada umat Islam dan bumiputera yang cuba disentuh oleh pemimpin-pemimpin dalam PH kononnya di atas asas mahu menunaikan janji dalam manifesto. Sedangkan kami melihat ada banyak lagi janji lain yang perlu diutamakan tetapi tidak dilaksanakan mereka.
Ratusan ribu umat Islam dan orang Melayu berjaya dikumpul dan dihimpunkan, adakah ini boleh dianggap sebagai satu kejayaan besar?
Jumlah atau angka yang hadir pada hari itu tidak penting, 500,000 atau sejuta sekalipun tapi memang kita lihat kehadiran begitu besar. Apa yang lebih penting roh kepada himpunan itu telah menunjukkan kesatuan umat Islam, Melayu dan bumiputera walaupun masing-masing berbeza parti politik, latar belakang tetapi semuanya bersepakat dalam isu-isu bersama.
Masih ada salah faham dalam kalangan orang bukan Islam dan bukan bumiputera yang melihat #DaulatHimpunan812 sebagai satu himpunan perkauman. Apa komen saudara?
Itu bukan himpunan rasis iaitu kami menunjukkan sikap anti kepada kaum dan bangsa lain khususnya Cina dan India. Ia hanya satu himpunan untuk mempertahankan hak kita, dalam masa sama menghormati dan menerima kontrak sosial yang memberikan hak kepada kaum serta bangsa lain tetapi kita tidak mahu hak kita disentuh.
Apa pandangan saudara apabila penganjur #DaulatHimpunan812 iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah) secara jelas mahu Pas dan UMNO terus bekerjasama dan bersatu padu selepas ini?
Itu sudah tentu perlu diterjemahkan oleh parti-parti politik Melayu dan Islam yang dalam konteks ini adalah Pas dan UMNO. Jadi bagi saya kita perlu terus mewujudkan suasana harmoni ini dalam isu-isu bersama, tidak semestinya Pas dan UMNO mesti bergabung tetapi perlu sentiasa menunjukkan persefahaman politik dalam setiap isu yang melibatkan Islam dan umatnya, Melayu dan bumiputera.










