Kereta sapu ‘bunuh’ pemandu teksi - Utusan Malaysia

Kereta sapu ‘bunuh’ pemandu teksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH 11 Dis. – Sudahlah terbeban akibat kekurangan penumpang ekoran keadaan ekonomi yang tidak menentu, pemandu teksi kini diancam pula kewujudan kereta sapu yang seolah-olah ‘membunuh’ kerjaya pemandu teksi di bandar ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kereta sapu begitu berani apabila menunggu penumpang di laluan ke tempat teksi dan ‘mencuri’ penumpang tanpa segan silu.

Seorang pemandu teksi, Syafie Mustafa, 50, berkata, tindakan kereta sapu berkenaan ‘mencuri’ penumpang yang turun daripada bas telah lama berlaku dan berterusan sehingga menjejaskan pendapatan pemandu teksi.

Katanya, tindakan ‘mencuri’ penumpang itu dilakukan dengan pelbagai kaedah termasuk memburuk-burukkan pe­­mandu teksi serta membanding­kan harga perkhid­matan.

“Dengan keadaan berterusan begini menyebabkan pemandu teksi yang mengikut peraturan dan terpaksa menanggung pelbagai kos kini tertekan dan terbeban ditambah pula kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Sudah banyak kali berlaku pergaduhan antara mereka de­ngan pemandu teksi malah saya sendiri beberapa kali membuat laporan polis selain persatuan teksi turut mengadu kepada pihak-pihak berkaitan, namun tiada apa-apa tindakan diambil,” katanya ketika ditemui di Perhentian Teksi Temerloh di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan penumpang yang menaiki teksi pada masa ini adalah pelanggan tetap dan mereka juga terpaksa mengelak daripada ‘pujukan’ pemandu kereta sapu.

Tambah Syafie, terdapat dalam kalangan pemandu kereta sapu sanggup bertindak agresif apabila seolah-olah me­mak­sa penum­pang yang turun daripada bas agar menaiki kende­raan mereka.

“Mereka ini akan me­ngambil beg pe­num­pang berke­naan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi, Azmi Bahrin, 48, berkata, keadaan ekonomi yang semakin teruk termasuklah kejatuhan harga kelapa sawit dan getah memberi kesan kepada pemandu teksi di daerah ini yang banyak bergantung kepada penumpang daripada kampung.

Selain itu katanya, saingan yang banyak daripada pihak yang beroperasi secara haram seperti kereta sapu dan pemandu e-hailing memburukkan lagi keadaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN