Kerajaan negeri digesa tangani ancaman gajah liar - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri digesa tangani ancaman gajah liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 19 Dis. – Kerajaan negeri serta pihak terlibat digesa bukan sahaja mempercepatkan tindakan menangani isu ancaman gajah liar tetapi mengambil serius perkara tersebut.

Gesaan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang tidak mahu kejadian kemalangan atau maut ke atas orang ramai membabitkan gajah liar itu seperti yang berlaku kepada pekerja Ladang FELCRA Dusun Panti semalam berulang.

Malah, katanya, isu berkaitan gajah liar itu bukan satu masalah baru dan ia sudah berlarutan sejak sekian lama dan menyifatkan perkara tersebut amat kritikal kerana ia membabitkan soal keselamatan penduduk di kawasan terlibat.

“Atas sebab itu, saya berkali-kali membangkitkan isu ancaman gajah liar setiap kali Persidangan Dewan Negeri diadakan supaya tindakan segera dapat dilakukan oleh pihak bertanggungjawab, kita tahu pembinaan Santuari Gajah sudah diumumkan tetapi ia bergerak perlahan.

“Saya berasa amat sedih dengan kejadian yang menimpa pekerja Ladang FELCRA Dusun Panti, Muhammad Ridwan Mohd Yasin, 26, yang maut akibat diserang gajah liar. Takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, sebelum ini, sudah berlaku kemalangan dan gajah liar itu juga bukan sahaja mengundang ketakutan penduduk tetapi turut menyebabkan kerugian kepada pekebun kecil, ladang-ladang, kawasan FELDA dan FELCRA kerana ia turut menghapuskan tanaman mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN