Kerajaan digesa lihat semula keperluan Suhakam - Utusan Malaysia

Kerajaan digesa lihat semula keperluan Suhakam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menggesa kerajaan mengkaji semula keperluan mengekalkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dilihat ingin memecah belahkan rakyat.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya menempelak beberapa pihak yang mengeluarkan kenyataan akan berterusan mendesak pihak kerajaan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) terutamanya daripada pihak Suhakam.

“Kenyataan tersebut bagi saya tidak rasional memandangkan lebih daripada setengah juta rakyat Malaysia telah menyatakan ketidakpuasan hati dan menolak ICERD.

“Tetapi sifat keras kepala dan niat yang bagi saya jahat serta sombong menyebabkan mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya pada satu sidang akhbar sebaik selesai memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Mahmud Hisyamuddin serta peguam daripada Biro Undang-undang UMNO.

Menurut Aminuddin, kerajaan perlu melihat balik keperluan mengekalkan suruhanjaya terbabit.

“Apakah makna Suhakam sekiranya niatnya adalah untuk mengucar-kacirkan negara dan bertentangan dengan perlembagaan. Adakah kita ingin mengikut acuan barat?

“Kalau Suhakam nak memporak-perandakan perlembagaan dan struktur masyarakat bagi saya lebih bagus sekiranya dibubarkan sahaja Suhakam,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, berhubung isu terdapat peserta yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan tersebut, Aminuddin menegaskan, pihaknya telah mengeluarkan prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi setiap peserta.

“Ini membuktikan yang kita (penganjur) telah ambil tindakan wajar, mungkin ada di antara peserta ingin pergi membeli-belah bawa anak mereka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN