Buat permulaan, kerajaan berhasrat menutup sebanyak 34 buah Klinik 1Malaysia atau nama baharunya Klinik Komuniti.
Keputusan itu dibuat hasil daripada program rasionalisasi Kementerian Kesihatan yang mendapati klinik berkenaan berdepan dengan masalah kos tidak efektif.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, klinik yang ditutup perlu memenuhi beberapa kriteria tertentu antaranya mempunyai purata kehadiran rendah iaitu kurang 40 pesakit

sehari, terdapat kemudahan kesihatan berdekatan dalam lingkungan lima kilometer dan tidak terletak di kawasan projek perumahan rakyat (PPR).
“Selain itu, kriteria lain adalah penutupan tidak dihalang Jabatan Kesihatan negeri dan fasiliti yang ditutup tidak menjejaskan perkhidmatan sedia ada.
“Jadi selepas rundingan dengan Kementerian Kewangan dan juga JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), 34 Klinik 1Malaysia akan ditutup secara peringkat awal,” katanya dalam sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Sabani Mat yang meminta jawapan mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah menutup Klinik 1Malaysia.
Boon Chye dalam pada itu memberitahu, mengikut statistik tahun 2017 terdapat sebanyak 347 Klinik 1Malaysia di seluruh negara dengan kedatangan pesakit seramai 6.59 juta orang.
Kata beliau, kos operasi untuk kesemua klinik berkenaan adalah sebanyak RM119 juta iaitu dalam anggaran purata RM18 bagi setiap pesakit.
“Ini semua adalah kos pelanggan dan tidak termasuk kos operasi untuk kakitangan dan juga kos operasi untuk sewa premis,” jelas beliau.











