Kempen 'Silent Airport' di KLIA, KLIA2 - Utusan Malaysia

Kempen ‘Silent Airport’ di KLIA, KLIA2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 1 Dis. – Orang ramai menyambut baik langkah kempen ‘Silent Airport’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 sejajar usaha bagi menambahbaik suasana persekitaran lapangan terbang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pihaknya menjalankan projek perintis untuk mengurangkan pengumuman sejak empat minggu lalu dan ia mendapat maklum balas positif.

Katanya, MAHB menggantikan pengumuman itu dengan lagu-lagu tradisional Melayu.

“Kita mengurangkan 63 peratus daripada 500 pengumuman jadual penerbangan sejak Oktober lalu menerusi kempen tersebut.

“Hasil kajian kita, 98 peratus orang ramai menyambut baik usaha ini apabila hampir keseluruhan responden menyatakan terlampau banyak pengumuman boleh menimbulkan gangguan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Festival Tarian Tradisional Malaysia 2018 di KLIA, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dalam satu kemas kini dalam akaun Twitter baru-baru ini, Malaysia Airlines memaklumkan tiada lagi pengumuman di kedua-dua buah lapangan terbang itu dan meminta penumpang merujuk kepada papan informasi digital yang ada di dalam lapangan terbang untuk sebarang maklumat terbaharu dan penting.

Antara lapangan terbang yang menyertai kempen itu adalah Lapangan Terbang London City, Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town dan Lapangan Terbang Helsinki apabila pengumuman hanya dibuat membabitkan situasi kritikal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN