KUCHING 5 Dis. – “Keluarga mangsa sedang berduka, berikan ruang kepada mereka,” kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen ketika menziarahi keluarga mendiang O Kui Lim yang maut dalam kejadian letupan gas di City One Megamall petang semalam.
Beliau,yang juga Anggota Parlimen Stampin dan Pengerusi DAP Sarawak berkata pihaknya akan menghulurkan bantuan dan sumbangan yang diperlukan untuk keluarga mangsa memandangkan mereka telah hilang punca pendapatan utama.
“Keluarga mangsa sedang berduka, berikan ruang kepada mereka sekeluarga pada ketika ini, kita hanya mampu menghulurkan sumbangan sedikit agar dapat meringankan beban mereka.
“Kejadian semalam sungguh mengejutkan, namun saya tidak boleh meninggalkan Dewan Rakyat di mana pagi ini saya perlu menjawab beberapa soalan di Dewan Rakyat. Sejurus selepas tamat sesi soal jawab, saya bergegas ke lapangan terbang dan kembali ke Kuching,” katanya.
Chong ditemui oleh pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang O Kui Lim di Sarawak Hun Nam Siang Tng, Jalan Sekama di sini, hari ini. O Kui Lim, 49, maut di tempat kejadian akibat dihempap oleh serpihan konkrit sejurus letupan itu berlaku.
Mendiang meninggalkan isteri serta enam anak berumur lingkungan 13 hingga 22 tahun, tiga daripadanya masih bersekolah.
Bagaimanapun, Bernama gagal mendapatkan sebarang maklumat daripada isteri mendiang kerana beliau enggan ditemui pemberita.
Dalam kejadian letupan yang berlaku pukul 3.30 petang itu, tiga maut manakala lebih 40 orang cedera. – BERNAMA










