Kelab Hati bantu asnaf belajar kemahiran - Utusan Malaysia

Kelab Hati bantu asnaf belajar kemahiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG 31 Dis. – Seramai 20 asnaf terpilih sekitar Pulai Chondong, dekat sini berpeluang mengikuti kelas kemahiran secara percuma bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing menerusi program anjuran Kelab Himpunan Tenaga Ihsan (Hati).

Pengerusi Kelab Hati, Nouzor Che Omar berkata, program jangka pendek selama tiga bulan di pusat kemahiran kelolaan badan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan membantu keluarga asnaf keluar dari lingkaran kemiskinan.

“Kita sediakan latihan kemahiran kepada mereka antaranya kelas masakan, jahitan dan kraf tangan. Ia menepati sasaran utama iaitu ibu tunggal dan wanita dari keluarga kurang bernasib baik di negeri ini.

“Kursus latihan percuma ini mampu memberi kemahiran kepada mereka untuk menghasilkan produk sendiri dan dijual secara langsung. Kita juga akan berkerja bekerjasama dengan mereka untuk bantu pasarkan produk,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam Program Kelab Hati di Dataran Usahawan Berdikari, Pulai Chondong, di sini hari ini.

Program itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusoff.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ab Aziz Yunus.

Sementara itu, salah seorang peserta jahitan, Nur Hanisa Harun, 18, berkata, dalam tempoh sebulan menghadiri kelas itu, dia kini telah berjaya menghasilkan baju kurung, beg dan juga kraf tangan.

“Saya berazam untuk membantu keluarga selepas selesai mengikuti kursus jangka pendek ini bagi meringankan beban ayah yang bekerja sebagai petani,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN