Kekalkan ILKKM Georgetown (Kejururawatan) sebagai pusat latihan - Utusan Malaysia

Kekalkan ILKKM Georgetown (Kejururawatan) sebagai pusat latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 5 Dis. – Alumni Kolej Kejururawatan Pulau Pinang memohon kolej itu dikekalkan sebagai Pusat Latihan Kecemerlangan Kursus Pengkhususan dan Diploma Lanjutan bagi memastikan latihan klinikal yang terbaik dapat diberikan kepada para penuntut di situ.

Presiden Alumni Kolej Kejururawatan Pulau Pinang, Khaw Ean Seok berkata, ini kerana para pelajar di kolej itu yang kini dikenali sebagai Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Georgetown (Kejururawatan) perlu berpindah ke ILKKM Bertam mulai 2020.

Menurutnya, keputusan tersebut tidak praktikal buat para pelajar memandangkan jarak kolej tersebut dengan Hospital Pulau Pinang (HPP) hanya kira-kira 500 meter sahaja berbanding ILKKM Bertam yang terletak jauh daripada hospital utama.

“Dari segi kemudahan, HPP merupakan pusat latihan klinikal terbaik kepada para pelajar memandangkan hospital ini merupakan hospital rujukan yang mempunyai ramai pakar perubatan di kawasan utara tanah air.

“Jika dipindahkan di ILKKM Bertam, pelajar dan pakar perubatan yang menjadi tenaga pengajar perlu berulang-alik lebih 40 kilometer setiap hari dan ini amat merugikan masa semua pihak yang terlibat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN