SAUDARA PENGARANG,
SAYA tidak bersetuju hukuman mati mandatori dimansuhkan. Sebagai rakyat biasa, apa yang boleh saya katakan Malaysia masih memerlukan hukuman mati mandatori terutama bagi kesalahan-kesalahan berat seperti kes bunuh, kes dadah, kes memberontak dan kes seludup senjata api.
Tanpa hukuman mati mandatori saya tidak menolak kemungkinan perbuatan jenayah akan lebih berleluasa kerana penjenayah tidak takut berhadapan dengan hukuman yang dikenakan. Paling berat pun hanyalah penjara seumur hidup. Jika berkelakuan baik, penjenayah terlibat mungkin akan dibebaskan lebih awal.
Syor untuk menghapuskan hukuman mati ini bertitik tolak daripada perjuangan yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Antara NGO terlibat adalah Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam), Majlis Peguam, Lawyers for Liberty dan Amnesty International.
Kesemua NGO ini menyifatkan hukuman mati mandatori adalah sebagai melanggar hak asasi manusia. Dalam hal ini saya ingin bertanya kepada kesemua NGO berkenaan iaitu tentang isu keadilan bagi pihak mangsa. Bagaimana pula hak mereka yang menjadi mangsa? Begitu juga dengan hak keluarga mangsa? Adakah mereka tidak mempunyai hak asasi?
Sebagai contoh peristiwa menyayat hati yang menimpa seorang bayi berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal baru-baru ini. Bayi ini menjadi mangsa kes penderaan fizikal hingga menyebabkan kematiannya.
Bayi ini didera secara fizikal dan seksual sehingga maut. Adakah wajar pembunuhnya hanya melalui hukuman penjara semata-mata? Adakah hukuman penjara adalah satu hukuman yang adil buat keluarga bayi ini?
Itu juga yang dirasai oleh Sim Yee Ling, ibu kepada seorang remaja, Ng Yuk Tim, yang dibunuh dengan kejam sebelum mayat anaknya itu disumbatkan ke dalam beg, lima tahun lalu. Yee Ling kini bangkit berjuang menentang pemansuhan hukuman tersebut. Diharap kerajaan terus mengekalkan hukuman mati mandatori demi kepentingan awam.
NURFATIHAH
Shah Alam










