GUA MUSANG 5 Dis. – Kelab Basikal Galas (GCC) Gua Musang yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu, kini berjaya menghimpunkan 120 ahli daripada pelbagai latar belakang dan bangsa.
Presiden GCC, Ab. Aziz Yusoff berkata, selain merapatkan hubungan silaturahim, aktiviti kayuhan yang dilakukan secara berkumpulan itu dapat meningkatkan tahap kesihatan.
Katanya, pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh ahli kelab GCC seperti kayuhan amal bagi menyampaikan bantuan dan kayuhan santai di negara luar seperti Thailand dan Indonesia.
“Sebelum ini, GCC mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah Jamboree dan Fun Ride yang melibatkan ahli basikal dari luar daerah ini. Pihak kami juga mengadakan kayuhan mingguan untuk mengeratkan hubungan dan meningkatkan kesihatan.
“Bentuk muka bumi Gua Musang yang berbukit bukau dan kaya dengan alam semula jadi memberi cabaran menyeronokkan untuk penggemar sukan basikal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang ahli kelab GCC, Rosli Harun, 45, pula berkata, aktiviti riadah berbasikal itu mendapat sambutan daripada individu pelbagai latar belakang dan pekerjaan.
Katanya, dia berharap lebih ramai masyarakat di daerah ini mengamalkan cara hidup sihat dengan melakukan aktiviti berbasikal.
“Sebagai ahli kelab ini, kita menyahut seruan Kementerian Kesihatan supaya hidup sentiasa aktif dan sihat.
“Aktiviti kayuhan ini dapat kita mencegah penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kronik kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung,” katanya.










