SHAH ALAM – Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala tiga lagi dipercayai melecur dalam kebakaran di sebuah rumah banglo di Seksyen 12 di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, Daaniys Humaira Mohd. Shafie disahkan meninggal dunia dipercayai melecur dan terhidu asap berlebihan ketika dalam perjalanan ke Hospital Shah Alam
Sementara tiga yang terselamat adalah ibu bapa mangsa iaitu Mohd. Shafie Mohd. Salih, 30an, Yusmaliza Mohd. Yusof, 31 dan adik mangsa, Eiman Haider setahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamaruddin berkata, seramai 22 anggota termasuk beliau berserta jentera telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 9.17 malam.
“Empat beranak itu berjaya dibawa keluar oleh orang awam sewaktu anggota bomba tiba sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam.
“Bagaimanapun, Daaniys disahkan meninggal dunia sewaktu perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Azmel menambah, berdasarkan siasatan awal kebakaran dipercayai bermula dari sudut bacaan di dalam rumah berkenaan yang terletak bersebelahan bilik tidur utama didiami empat mangsa berkenaan semasa kebakaran tersebut.
Jelas beliau, asap dari sudut bacaan itu kemudiannya merebak ke dalam bilik tidur itu.
“Punca sebenar dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE










