SHAH ALAM 17 Dis. – Hasrat pasangan suami isteri membawa dua anak mereka meluangkan masa cuti hujung minggu dengan bermalam di kediaman nenek dan datuk mereka bertukar tragedi.
Salah seorang daripada dua beradik itu maut dalam kebakaran dipercayai litar pintas di bilik tidur sebuah rumah banglo di Seksyen 12 di sini malam tadi.
Mangsa, Daaniys Humaira Mohd. Shafie, 4, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Shah Alam, dipercayai akibat melecur di kepala selain terhidu asap berlebihan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, turut cedera bapa kanak-kanak terbabit, Mohd. Shafie Mohd. Salih, 31, yang melecur di pinggang ke atas dan kini dirawat di hospital sama.
Adik mangsa, Eiman Haider, 1, melecur teruk dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur sementara ibu mangsa, Yusmaliza Mohd. Yusof, 31, tidak cedera.
Difahamkan, semasa kejadian, dua beradik itu tidur di sebuah bilik di tingkat bawah rumah tersebut manakala Mohd. Shafie keluar untuk membeli makanan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Azmel Kamaruddin berkata, beliau bersama 19 lagi anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 9.17 malam.
“Mohd. Shafie melecur ketika meredah api yang sedang marak bagi menyelamatkan dua anaknya termasuk Daaniys Humaira.
“Berdasarkan siasatan awal, kebakaran bermula daripada bilik bacaan yang terletak bersebelahan di bilik tidur mereka di tingkat bawah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Nek Zaidi Nek Zakaria ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah selain percaya lintar pintas menjadi punca kebakaran itu.










