KUALA LUMPUR 19 Dis. – Bimbang pertemuan mereka akan menimbulkan pelbagai spekulasi, bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pantas menjelaskan kedudukan sebenar pertemuannya dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di sebuah restoran, tengah hari semalam yang dianggap hanya merupakan pertemuan biasa.
Terima kasih @bharianmy buat liputan saya, @n_izzah & @Khairykj makan tengahari.https://t.co/lG8PAFoAoj
Langsung tak bincang lompat ka, buat parti ka.
KJ ajar saya mcm mana nak pakai filter Insta.
Izzah bg tips sekolah anak.
Saya bg tips mcm mana nak gemuk.— Rafizi Ramli (@rafiziramli) December 19, 2018
Malah, beliau menafikan pertemuan itu membincangkan mengenai lompat parti atau merancang untuk menubuhkan parti baharu.
“Langsung tidak bincang lompat ka, buat parti ka. KJ (Khairy) ajar saya macam mana hendak pakai filter Instagram. Nurul Izzah bagi tip sekolah anak. Saya bagi tip macam-mana nak gemuk,” katanya seperti yang dipetik dalam hantaran Twitter miliknya, hari ini.
Rafizi membuat penjelasan berkenaan bagi merujuk laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu yang turut menyiarkan sekeping gambar memaparkan mereka bertiga dalam satu pertemuan di sebuah restoran di Bangsar, semalam.
Laporan akhbar itu juga mencetuskan spekulasi bahawa ketiga-tiga mereka dijangka merancang untuk menubuhkan sebuah parti untuk orang muda.
Spekulasi itu menjadi lebih hangat apabila ketiga-tiga mereka dikatakan saling berbalas komen menerusi hantaran Twitter dan pelbagai aplikasi media sosial lain, sejak akhir-akhir ini. – UTUSAN ONLINE










