KATA Tun Dr. Mahathir Mohamad dua hari lalu, Rafizi Ramli tahu apa akan berlaku pada masa depan, ramalan beliau pun tepat. Justeru apabila bekas Naib Presiden PKR itu kata harga minyak RON95 patut turun 20 sen seliter kalau kiraan dibuat secara mingguan, tak perlulah nak persoal lagi.
Andai masa depan pun boleh diramal dengan tepat seperti kata Perdana Menteri, apa sangat kira-kira harga minyak. Sebab itu, sejak hampir sedekad lalu, Rafizi seperti pakar rujuk minyak.
Ramai masih terngiang-ngiang harga petrol RON95 cuma RM1.50 seliter kalau Barisan Nasional (BN) tidak lagi jadi kerajaan. Kata-katanya beberapa tahun lalu masih segar dalam ingatan walaupun dihujahkan ia untuk Pilihan Raya Umum Ke-13.
Dalam diam, ternanti juga saat itu menjelma. Biarlah bagai pungguk rindukan bulan sekalipun, tidak salah untuk terus menunggu. Cumanya dalam tempoh untuk angka RM1.50 jadi kenyataan, kenderaan yang ada untuk bergerak tetap perlu diisi minyak. Berapa pun harga kena isi kecuali ada teknologi enjin yang boleh digerakkan dengan air paip.
Apa pun terima kasih Rafizi sebab menulis surat kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng minta harga minyak dikira secara mingguan seperti kaedah yang pernah digunakan pentadbiran sebelum ini yang lebih adil kepada rakyat dan mencerminkan harga semasa.
Kalau tidak kerana Rafizi menghebahkan ke satu dunia di Twitter tentang surat itu semalam, mungkin ramai tidak sedar yang harga sebenar petrol RON95 patutnya dua kupang lebih murah sejak tiga minggu lalu.
Sejak hari ini, rakyat tersedar yang mereka sebenarnya membayar harga minyak yang lebih tinggi daripada pasaran, malah di media sosial ada yang sinis membangkitkan rakyat membayar subsidi pada kerajaan.
Ini memang tidak patut berlaku, seperti kata surat Rafizi pada Guan Eng itu, kerajaan perlu pastikan ada subsidi untuk RON95. Jika tidak, tiada beza dengan formula penetapan harga minyak pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Justeru, mengambil kiraan Rafizi, R0N 95 pada 19 Disember lalu sepatutnya RM1.933 sen seliter. Terfikir juga, jika ada subsidi 40 sen seliter dapatlah angka RM1.53. Kalau 30 sen pun dah ok, RM1.63 seliter. Sudah hampir angka keramat itu, sama-samalah didoakan Guan Eng mendengar cakap Rafizi.
Kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) pula, janganlah marah dekat Rafizi kerana bersuara terbuka atau ada lagi surat kepada menteri yang dikongsi beliau di Twitter selepas ini. Ahli politik kalau senyap orang lupa. Nak buat kerja, tak ada jawatan kerajaan.
Begitu juga buat pemimpin parti yang hari ini sudah jadi pembangkang, jangan lupa rajin-rajinlah bersuara dan buat kerja-kerja macam ini. -UTUSAN ONLINE










