Kabinet tarik balik moratorium beberapa akta bagi mengendali kes kuil - Utusan Malaysia

Kabinet tarik balik moratorium beberapa akta bagi mengendali kes kuil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA – Kabinet bersetuju menarik semula moratorium atau sekatan ke atas beberapa undang-undang serta akta tertentu bagi memberi kuasa sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak dalam kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ 25 di sini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penarikan semula status moratorium ke atas beberapa akta tersebut dipersetujui jemaah kabinet setelah diusulkan oleh beliau dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo Jumaat lalu.

“Antara akta yang dibenarkan penarikan semula status moratorium tersebut adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) serta Akta Hasutan.

“Penarikan semula status moratorium ke atas beberapa akta ini dipersetujui jemaah menteri bagi memberikan kuasa penuh pada pihak keselamatan untuk bertindak bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas selesai mengadakan sesi lawatan ke kuil berkenaan semalam sambil diiringi oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Menurut Muhyiddin, dalam hal ini, kabinet bersetuju agar pihak polis dibenarkan untuk bertindak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada walaupun sebahagiannya sedang dalam proses dikaji serta diteliti semula.

“Keputusan berkenaan diambil kerana kita memerlukan instrumen undang-undang yang cukup berkesan dan pihak polis juga perlukan panduan untuk bertindak terutamanya dalam situasi sebegini.

“Sebelum ini kita terpaksa berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan jadi ia memberikan gambaran seolah-olah pihak polis tidak mempunyai kuasa.

Penarikan semula status tersebut memberikan satu panduan baru agar polis boleh bertindak mengikut budi bicara mereka dan menggunapakai apa saja undang-undang yang boleh bagi mengekalkan keamanan,” tegas beliau. – K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN