Joli pil kuda pakai duit tabung masjid - Utusan Malaysia

Joli pil kuda pakai duit tabung masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS 5 Dis. – Bila hati sudah hitam, dua sahabat yang aktif mencuri dan memecahkan tabung dari beberapa buah masjid di jajahan ini sanggup menggunakan wang tersebut dengan berjoli membeli pil kuda.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil siasatan yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek terlibat.

Menurutnya, remaja berusia 19 dan 15 tahun itu yang positif dadah jenis Methamphetamine dicekup dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Lubok Jong pada 27 Novemer lalu kira-kira pukul 7.46 malam.

“Suspek turut mengaku terlibat dalam 12 kes pecah tabung masjid di sekitar jajahan ini dan Tanah Merah.

“Antara masjid yang telah dipecah masuk oleh kedua-dua suspek ialah Lemal; Lubok Jong; Kubang Panjang; Bukit Tuku; Tok Uban; Repek; Batu Karang; Kangkong, Gabus; Padang Siam (Tanah Merah); Laut (Tanah Merah) dan Bukit Panau (Tanah Merah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, suspek mendedahkan kesemua hasil kegiatan pecah tabung masjid di sekitar jajahan Pasir Mas dan Tanah Merah mencecah RM1,500.

Katanya, suspek turut mengesahkan mereka masuk ke dalam premis masjid melalui bumbung dan mengumpil tingkap serta pintu pada waktu malam sehingga awal pagi.

Abdullah berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas seutas rantai emas; rantai tangan emas, sebentuk cincin emas dan sebentuk cincin perak.

Katanya, kesemua barangan itu dirampas dalam beg silang milik suspek berusia 19 tahun itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN