KUALA LUMPUR 29 Dis. – Dakwaan sebuah syarikat pengimport berkenaan wujudnya elemen rasuah membabitkan kemasukan cili beracun dari Vietnam nampaknya tidak bertepuk sebelah tangan apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak menafikan pembabitan anggotanya dalam salah laku terbabit.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, walau bagaimanapun perkara itu belum dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan unit siasatan dalaman kastam sedang dalam usaha memburu mereka yang terlibat.
Menurut beliau, kesalahan moral sedemikian tidak akan dipandang sebelah mata dan pihaknya mengalu-alukan pembabitan SPRM untuk menyelesaikan isu terbabit kerana ia jelas mencalarkan kredibiliti JKDM.
“Itu saya tidak nafikan, beritahu saya siapa yang terlibat dan kita akan dakwa di bawah Seksyen 137 Akta Kastam 1967.
“Sebab itu kastam tubuh unit siasatan dalaman untuk banteras kes-kes sebegini. Siasatan masih diteruskan dan saya alu-alukan kalau SPRM hendak siasat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.
Utusan Malaysia menerusi laporan eksklusifnya sebelum ini turut mendedahkan ada syarikat pengimport yang bertindak memanipulasi dokumen dengan melakukan pengisytiharan palsu selain menggunakan permit import (IP) negara jiran untuk menyeludup bahan komoditi pertanian tersebut ke negara ini.
Tambah Subromaniam, pihaknya juga sedang giat menjalankan gerak kerja bagi mengesan semua syarikat pengimport yang terlibat menyeludup cili beracun terbabit.
“Kita sedang tunggu laporan daripada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Kemudian baru kita boleh kesan semula siapa yang mengimport dan sudah tentu kita akan teruskan dengan pendakwaan,” tegasnya.










