IPOH – Hujan renyai semasa pengebumian jenazah lima remaja di dalam satu liang lahad seakan turut sama berduka dengan pemergian mangsa yang meninggal dunia dalam kebakaran tragis di kawasan perindustrian Puncak Jelapang Maju, Meru di sini, semalam.
Jenazah kelima-lima remaja iaitu Mohd Nor Aiman Abdul Rahman, 16, Mohamad Nor Ikram Mohd Husni, 15, Mohd Ikhmal Izzudin Mohd Kamari, 16, Ahmad Faizal Amiruddin, 16, dan Mohamad Azhar Shah Rosli, 19, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari Hilir di sini kira-kira pukul 8 malam.
Suasana sayu dan pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan berkenaan yang dihadiri lebih 300 anggota keluarga serta penduduk setempat yang hadir memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah mereka disemadikan.
Turut hadir ke pengebumian itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari.
Sebelum itu, jenazah kelima-lima mangsa dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kira-kira pukul 6.10 petang selepas selesai proses bedah siasat, dimandi dan dikafankan di hospital berkenaan. – Bernama











