KUALA LUMPUR – Jenazah anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada malam ini untuk dibedah siasat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan ahli keluarganya sebentar tadi.
“Selepas selesai urusan bedah siasat dan pengurusan jenazahnya, Adib akan dibawa pulang ke Kedah melalui jalan darat.
“Kerajaan akan memberikan bantuan yang sepenuhnya kepada keluarga Adib dan kebajikan mereka akan sentiasa kita jaga,” katanya ketika ditemui pemberita di Institut Jantung Negara di sini sebentar tadi.
Turut hadir adalah Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Dalam perkembangan sama, Dzulkefly memberitahu bahawa pasukan perubatan dari IJN juga sudah dikejarkan ke sana.
“Pasukan forensik HKL yang diketuai oleh Dr. Mohd. Shah Mahmood juga sudah bersedia untuk menjalankan bedah siasat.
“Setelah ia selesai, jenazahnya akan terus dibawa ke Kedah,” ujarnya. – K! ONLINE










