JBPM Melaka akan komersialkan kon pencahayaan JLC Mark 1 - Utusan Malaysia

JBPM Melaka akan komersialkan kon pencahayaan JLC Mark 1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN 11 Dis. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri akan berusaha mengkomersialkan produk inovasi kon pencahayaan yang diberi nama Jebat Luminous Cone (JLC) hasil kreativiti anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu sebagai salah satu alternatif alat keselamatan sewaktu bertugas.

Pengarahnya, Mohamad Zin Salleh berkata, JLC Mark 1 yang dicipta oleh pasukan Jebat dari BBP Jalan Kubu itu mampu diketengahkan untuk membantu anggota keselamatan atau pemandu kenderaan berat sebagai alat untuk menarik perhatian pengguna kenderaan sewaktu menjalankan operasi.

“Cahaya daripada kon keselamatan JLC Mar 1 ini boleh dilihat daripada jarak 500 meter berbanding cahaya kon asal yang hanya boleh dilihat pada jarak 15 meter sahaja. Selain itu, koninovasi ini dilengkapkan dengan litar elektrik dan boleh dicaj semula serta mampu direndam dalam air selama 24 jam.

“Ketahanan cahaya kon ini juga yang boleh dilihat pada jarak 250 meter ketika hujan lebat mampu membantu tugas anggota bomba khususnya Jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan JBPM negeri Melaka di BBP Jasin Bestari di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JBPM negeri, Ahmad Zaidi Safuan dan Penolong Pengarah (Operasi) negeri, Zulkifli Nordin.

JLC Mark 1 yang diilhamkan daripada kon keselamatan biasa yang berharga RM62, diubah suai oleh pasukan Jebat untuk menyertai Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) JBPM kali ke-29 yang diadakan di Pulau Pinang pada penghujung Oktober lalu.

Rekaan itu yang dihasilkan dengan kos sebanyak RM160 setiap satu dipilih sebagai pemenang keempat di konvensyen tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN