Jawatan adalah amanah, bukan tiket untuk berbangga - Utusan Malaysia

Jawatan adalah amanah, bukan tiket untuk berbangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Pemimpin yang dilantik untuk menduduki jawatan tertentu dalam pentadbiran termasuk kerajaan tempatan perlu mengutamakan amanah mereka sebagai penghubung serta penyelesai kepada masalah masyarakat. 

Perkara itu dibangkitkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang merasakan apa juga jawatan yang diperoleh seseorang bukannya tiket untuk berbangga, bermegah-megah apatah lagi untuk mendapatkan kepentingan peribadi.

Sebaliknya tegas beliau, sesuatu jawatan yang dipegang merupakan satu tanggungjawab yang wajib disempurnakan walaupun ianya kecil sekali pun.

“Justeru, mereka yang diberikan sesuatu amanah dan jawatan dalam pentadbiran perlulah turun menyelami denyut nadi serta memainkan peranan sebagai penghubung permasalahan rakyat, bukan sekadar kata-kata sahaja,” katanya. 

Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sukan Rakyat Taman Impian Putra 2018 di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 24 Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Zainurin Arifin.

Pada masa sama, Abu Bakar turut menyampaikan salam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada para penduduk di taman perumahan berkenaan.

Selain itu, majlis tersebut turut disusuli dengan penyerahan 180 borang keahlian Bersatu sekaligus menandakan sokongan rakyat di kawasan Hulu Langat terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Borang keahlian Bersatu itu diserahkan oleh Timbalan MPP Zon 24, Dr. Razali Ali kepada Abu Bakar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN