Jantung Muhammad Adib mula berfungsi sendiri - Utusan Malaysia

Jantung Muhammad Adib mula berfungsi sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Dis.- Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, yang parah selepas dipukul perusuh dalam kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, dekat sini pagi Selasa lalu kini tidak lagi menggunakan mesin sokongan jantung.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata, bagaimanapun, Muhammad Adib masih menggunakan mesin sokongan sama di bahagian paru-parunya.

Ujarnya, pihaknya telah dimaklumkan oleh pihak Institut Jantung Negara bahawa jantung Muhammad Adib telah berfungsi sendiri.

“Saya telah dimaklumkan oleh Doktor Pakar Kardiotorasik, Datuk Dr Mohamed Izani Md Taib mengenai keadaan terkini Muhammad Adib.

“Meskipun dia tidak lagi memerlukan mesin sokongan di bahagian jantung namun keadaan masih dikategorikan sebagai kritikal,” katanya ketika ditemui dalam Perlawanan Amal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Road Malaysia Celebrity (RMC) di sini hari ini.

Program yang dianjurkan RMC adalah untuk mengumpul dana bagi membantu keluarga enam anggota yang lemas bulan lalu.

Selain itu, dana turut dikumpul untuk keluarga Muhammad Adib yang cedera dalam rusuhan berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Hamdan memberitahu, seramai lapan anggotanya telah diambil keterangan oleh pihak polis kelmarin.

“Keterangan kesemua anggota terlibat diambil oleh pegawai penyiasat di IJN.

“Kita juga bersama-sama pihak polis semalam melakukan lakonan semula di lokasi kejadian. Sehubungan itu, kita menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN