MELAKA 11 Dis. – Seorang pekerja penyelenggaraan terkejut selepas menemukan satu janin bayi dalam lubang tandas ketika membaiki saluran tersumbat tandas itu di sebuah kilang pengeluar cip terkemuka di Batu Berendam, di sini pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika pekerja lelaki itu dipanggil untuk membaiki saluran tandas yang tersumbat di tingkat satu kilang itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, janin bayi itu dipercayai baru berusia lima bulan namun ia sudah cukup sifat.
“Pekerja penyelenggaraan menemukan janin dipercayai perempuan selepas dia menarik keluar menggunakan tangan.
“Janin yang ditemukan itu cukup sifat, berukuran 11 inci dan masih bersambung dengan uri,” katanya ketika dihubungi, di sini sebentar tadi.
Menurut Afzanizar, kejadian tersebut kemudian dimakmumkan kepada pihaknya kira-kira pukul 10.45 pagi dan janin tersebut di bawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan individu terlibat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. – UTUSAN ONLINE









