KUALA LUMPUR 31 Dis. – Majlis Belia Malaysia (MBM) menasihatkan barisan kepemimpinan negara agar tidak menyiarkan gambar bercuti di luar negara dalam media sosial secara terbuka.
Presidennya, Jufitri Joha berkata, langkah itu bagi menghormati perasaan dan sensitiviti rakyat yang berhempas pulas berhadapan dengan suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.
“MBM tidak menafikan hak dan kemampuan sesetengah pemimpin dan keluarga mereka untuk bercuti di luar negara, namun, kami menasihatkan agar gambar percutian hanya disiarkan dalam akaun media sosial peribadi secara tertutup.
“Malah, lebih baik jika tidak dikongsikan langsung dalam media sosial bagi mengelakkan gambar itu tersebar sekali gus mengundang pelbagai persepsi masyarakat. Cukuplah hanya sekadar simpanan peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, tersebar gambar keluarga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang bercuti di Maghribi baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai tanda tanya terhadap perpecahan yang dipercayai tercetus dalam kepemimpinan PKR.
Gambar keluarga itu dimuat naik dalam laman Twitter milik anak sulung Azmin, Ameer Azmin, di sebuah resort percutian di Marrakesh, Maghribi dengan kapsyen, ‘Keluarga kami bersatu semula’. – UTUSAN ONLINE










