KUALA LUMPUR 12 Dis.- Pas menyarankan satu penilaian menyeluruh dikendalikan di bawah seliaan Majlis Raja-Raja (RCI) ataupun Parlimen, bagi meneliti dan mempertimbangkan setiap syor yang dikemukakan oleh juruaudit bebas yang telah dilantik, sebelum dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dalam isu berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hari Awang juga menasihatkan agar kerajaan tidak mempolitikkan isu berkaitan TH sehingga merosakkan imej institusi tersebut.
“Pas memandang serius terhadap tuduhan yang berlaku di dalam institusi kewangan terbesar umat Islam di Malaysia ini.
“Namun Pas berpandangan adalah tidak wajar sekiranya pertuduhan ini dibicarakan melalui media oleh seorang menteri yang masih mentah, sehingga boleh menimbulkan persepsi dan percanggahan maklumat yang mengelirukan,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, Pas meletakkan keyakinan terhadap integriti dan profesionalisme lembaga pengarah, pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan TH dalam melaksanakan tugas bagi melindungi kepentingan para pendeposit Tabung Haji dan tidak mahu ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof mendakwa TH mengeluarkan hibah atau dividen bercanggahan dengan Akta Tabung Haji 1995 sejak 2014.
Seksyen 22 (3a) akta berkenaan menyebut hibah tidak boleh diberikan apabila nilai aset lebih rendah daripada liabiliti, dan TH perlu menerbitkan keuntungan dalam tahun tersebut.
“Laporan kewangan TH berakhir 31 Disember 2017 hasil audit firma bebas PWC menunjukkan aset TH adalah RM70.3 bilion, manakala liabiliti RM74.4 bilion maka wujud defisit RM4.1 bilion.
“Walaupun mencatatkan desifit tetapi mereka masih keluarkan hibah, pemberian adalah bercanggahan dengan Akta Tabung Haji,” kata Mujahid dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, semalam.-UTUSAN ONLINE











