KUALA LUMPUR 2 Dis. – Rakyat Malaysia terutama pemimpin dan penyokong parti politik diminta mengambil iktibar daripada episod yang melanda Tabung Haji yang berpuca daripada sikap menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran.
Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, penyokong-penyokong tegar parti politik terutama UMNO dan Pas perlu lebih terbuka dalam meneliti sesuatu fakta dan tidak terus menghukum sebagai fitnah apabila sesuatu fakta itu didedahkan.
“Jangan ulangi episod Tabung Haji. Walaupun faktanya jelas, ramai-ramai bersekongkol menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran hanya kerana yang membawa fakta itu seorang dari parti lawan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tabung Haji membuat dua laporan polis berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.
Antara pihak yang dinamakan dalam laporan tersebut ialah bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah dan beberapa kakitangan kanan termasuklah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-undang, Hazlina Mohd. Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md. Ariff.
Menurut Rafizi, beliau akan terus meneliti setiap satu kes berdasarkan fakta walaupun tanggungjawab meneliti prestasi kerajaan persekutuan hari ini sepatutnya dipikul oleh pembangkang iaitu UMNO dan PAS.
“Saya berdoa supaya lebih ramai rakyat Malaysia yang boleh menilai sesuatu isu melangkaui pandangan sempit kepartian,” katanya. – UTUSAN ONLINE










