Jangan politikkan Tabung Haji - Utusan Malaysia

Jangan politikkan Tabung Haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEMBAGA Tabung Haji adalah institusi kewangan Islam yang tertua di Malaysia. Sejarahnya bermula pada 1963 dan ditadbir di bawah Akta Tabung Haji 1995. Penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan haji. Pada 2017, Tabung Haji menguruskan deposit RM73 bilion daripada sembilan juta pendeposit.

Isnin lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bahawa pengisytiharan serta pembayaran hibah Tabung Haji bagi 2017 telah melanggar Akta Tabung Haji 1995. Ini disebabkan Akaun Tabung Haji pada 2017 yang dibentangkan di Parlimen menunjukkan jumlah aset keseluruhan sebanyak RM70.3 bilion dan jumlah liabiliti sebanyak RM74.4 bilion. Laporan akaun Tabung Haji pada 2017 juga menunjukkan defisit sebanyak RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Kenyataan yang dike­lu­arkan oleh Mujahid ini agak kurang cermat kera­na boleh menyebabkan rakyat Malaysia dan khu­sus­nya sembilan juta orang penabung Tabung Haji berasa risau terhadap wang simpanan mereka. Namun begitu, Mujahid tetap memberi keyakinan baha­wa Tabung Haji masih dapat membayar hibah kepa­da penyimpan untuk 2018. Mungkin kenyataan ini dapat menenangkan sedikit pendeposit.

Mujahid menyebut liabiliti yang ditanggung Tabung Haji melebihi aset sejak 2015 hingga 2017. Namun begitu, jika diperhatikan nilai aset Tabung Haji sebenarnya melebih liabiliti. Tabung Haji menggunakan kaedah pengiraan nilai aset boleh direalisasi (RAV) ialah nilai aset berdasarkan nilai semasa dan bukan kos pelaburan asal.

“Untuk 2017, nilai aset boleh direalisasi adalah RM74.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM74.4 bilion maka terdapat lebihan aset sebanyak RM373 juta. Untuk 2016 pula, nilai aset boleh direalisasi adalah RM69.1 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM68.4 bilion maka terdapat lebihan aset sebanyak RM701 juta. Untuk 2015, nilai aset boleh direalisasi adalah RM64.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM63.3 bilion maka terdapat lebihan aset sebanyak RM1.4 bilion.”

Analisis ini menunjukkan Tabung Haji tidak melanggar Akta Tabung Haji 1995 kerana nilai aset boleh direalisasi bagi Tabung Haji melebih liabiliti semasa sejak 2015 hingga 2017. Malahan semua penyata kewangan ini diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan badan audit bebas. Perso­alan timbul mengapa Muja­hid tidak menyatakan perka­ra ini kepada khalayak ramai? Adakah pihak audit turut bersekongkol dengan pengurusan Tabung Haji yang lama dengan menyembunyikan kebenaran?

Rentetan pendedahan ini, Mujahid mengumumkan pelan pemulihan agensi itu melalui ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan baharu. Di antara langkah yang diambil, akan memindahkan aset yang tidak menguntungkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) menjelang 31 Disember ini bagi memantapkan kedudukan kewangan Tabung Haji.

Aset berkenan terdiri daripada 80 peratus ekuiti yang mempunyai nilai rosot melebihi 20 peratus dan baki aset hartanah dengan hasil kurang daripada dua peratus. Kemudian SPV di bawah Kementerian Kewangan (MOF) ini akan terbitkan RM10 bilion sukuk dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.9 bilion. Sukuk ini mempunyai tempoh tujuh tahun matang dengan kupon sifar. Sukuk ini diterbitkan pada harga diskaun dengan pulangan lima peratus setahun dan ia tidak dijamin oleh kerajaan manakala RCPS-i tidak mempunyai tempoh matang dan bayaran dividen.

Tindakan penjualan aset ini dipertikai oleh sesetengah pihak kerana defisit yang berlaku hanya RM4.1 bilion tetapi kenapa perlu menjual aset bernilai RM19.9 bilion? Malahan sukuk yang diterbitkan ini tidak dijamin oleh kerajaan sebagaimana sukuk yang diterbitkan oleh SPV lain di bawah MOF. Sudah tentu ia memberi risiko pulangan kepada Tabung Haji manakala pulangan sukuk yang diberikan terlalu kecil dan RCPS-i itu tidak mendatangkan sebarang dividen kepada Tabung Haji?

Selain itu, antara hartanah yang dijual ialah tanah yang berada di dalam wilayah TRX yang masih dalam proses pembangunan. Tabung Haji memperoleh hartanah itu dengan harga rendah berbanding dengan harga pasaran. Sudah pasti apabila wilayah TRX siap dibangunkan ia akan menyebabkan nilai hartanah di situ meningkat berlipat kali ganda. Maka mengapa hartanah di kawasan TRX dijual kepada SPV sedangkan ia akan memberi pulangan tinggi kepada agensi itu?

Pelan pemulihan lain ialah Tabung Haji akan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. Perkara ini mampu memberikan impak baik terutama dari segi pengurusan risiko dan aktiviti Tabung Haji. Namun penjelasan lanjut tentang kawal selia terhadap Tabung Haji ini perlu dilakukan dengan teliti dan ia masih mengekalkan identiti asal Tabung Haji dan bukan menukar Tabung Haji menjadi sebuah institusi perbankan. Sektor pelaburan Tabung Haji lebih luas dan besar berbanding institusi perbankan yang cukup terhad pelaburannya.

Isu yang melanda Tabung Haji ini menyebabkan orang ramai mempunyai persepsi bercampur-campur yang boleh menggugat kepercayaan mereka terhadap institusi ini. Isu ini juga menyebabkan timbul bibit antara kaum dan agama walaupun sepatutnya tidak berlaku. Oleh itu, mereka yang bertanggungjawab tentang Tabung Haji yang terdiri daripada menteri dan pihak pengurusan Tabung Haji amat perlu berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan. Kenyataan yang dikeluarkan tidak boleh menimbulkan kemarahan dan kebencian.

Isu ini perlu ditangani dengan penuh berhemah kerana Tabung Haji adalah institusi kewangan Islam yang mempunyai sejarah yang amat lama dengan umat Islam. Sekiranya benar berlaku kesalahan dalam pelaporan atau aktiviti maka ia perlu disiasat dengan mendalam dan mereka yang bersalah perlu dihukum.

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam isu ini adalah langkah yang terbaik. Suruhanjaya ini bersifat badan bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana pengaruh politik. Dengan itu, suruhanjaya ini dapat melakukan siasatan dengan saksama tanpa kecenderungan kepada pihak tertentu.

Setiap rakyat Malaysia menyambut baik usaha untuk mempertingkatkan tadbir urus Tabung Haji kerana ia adalah institusi kewangan Islam yang cukup lama berada di hati rakyat. Namun janganlah isu Tabung Haji ini dijadikan alat permainan politik pihak tertentu. Tabung Haji perlu dijaga dengan baik kerana ia adalah kegemilangan rakyat Malaysia!

PENULIS ialah Perunding bebas kewangan Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN