Jangan musnahkan keharmonian negara - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Jangan musnahkan keharmonian negara – Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR 1 Dis. – Warga Malaysia terutamanya yang diamanahkan sebagai pemimpin, hendaklah tidak menjadi dalang mahupun melakukan provokasi yang boleh menyalakan puntung kebencian serta mencetus api permusuhan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini. 

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, amatlah mendukacitakan apabila suasana harmoni yang begitu berharga dan telah sekian lama menjadi amalan budaya hidup majoriti rakyat di negara ini, kini mahu dimusnahkan semata-mata disebabkan oleh persaingan politik.

Baginda bertitah, perkara itu berpunca daripada sikap sebahagian pemimpin politik yang memilih untuk bersifat riak dengan kemenangan sementara sebahagian yang kalah bersifat berdendam; walhal pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri sedangkan yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan Ilahi secara terhormat.

“Ada negara yang menghadapi konflik sehingga hancur musnah kerana perselisihan yang berpunca daripada perbezaan mazhab, ada yang disebabkan berlainan agama, ada yang berkonflik kerana kelainan kaum, ada yang berpisah kerana tuntutan autonomi wilayah dan ada yang berbunuhan kerana perbezaan ideologi politik. 

“Malaysia memiliki semua komponen untuk dijadikan bahan mencetuskan konflik. Namun, para pemimpin terdahulu, memilih untuk tidak berkonflik, malahan yang mengasaskan negara merdeka ini, memilih untuk menerokai titik persamaan dan menyuburkan semangat bekerjasama,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-11 Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pada istiadat tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan mengisytihar serta mengurniakan watikah pelantikan jawatan Pro Canselor USAS kepada Mohd. Zahidi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN