KALAU ada pemimpin UMNO yang masih berkira-kira akan kembali berkuasa dan kononnya penting untuk menjadi kingmaker dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), baik lupakan sahaja angan-angan tersebut.
Apa yang dapat disimpulkan daripada laporan temu bual bersama Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan beberapa organisasi media, boleh digambarkan partinya seolah-olah hanya ‘menagihkan’ sokongan pengundi Melayu sahaja, bukannya terlalu ‘memandang tinggi’ seseorang pemimpin yang melompat itu.
Antara janji yang dibuat ialah mereka yang melompat itu tidak akan cuba mendapatkan apa-apa kedudukan dalam parti atau menjadi calon untuk pilihan raya akan datang.
Syarat-syarat yang ditetapkan nampak seperti tiada langsung mahu memenuhi agenda rakyat, sebaliknya berbentuk peribadi seolah-olah satu permohonan maaf kepada musuh.
Apa yang ditetapkan itu malah mirip kepada zaman penjajah apabila orang luar mengiktiraf pembesar tempatan, dengan niat mahu membolot sumber dan hasil bumi yang ada sehingga akhirnya tergadai nasib bangsa pada kemudian hari.
Adakah pemimpin UMNO yang ingin lompat itu tidak membayangkan bahawa mereka seperti diperkotak-katikkan oleh parti kecil yang sendiri sebenarnya gemuruh tidak mengetahui masa depan mereka, terutama apabila sudah ketiadaan pengasas awal.
Namun boleh difahami, mungkin mereka yang lompat itu sanggup berdepan temuduga, semata-mata mahu ‘mencari makan’ atau menyelamatkan diri.










