Jangan malu dapatkan rawatan - Utusan Malaysia

Jangan malu dapatkan rawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mereka yang terjebak dalam penagihan dadah dinasihatkan untuk tidak malu mendapatkan rawatan kerana terdapat pelbagai bentuk bantuan disediakan. Walaupun sukar untuk pulih, ia bukan perkara mustahil kerana terdapat pelbagai program disediakan di pusat pemulihan. Malah di situ juga mereka akan diterapkan dengan pengisian kerohanian dibantu dengan sokongan anggota keluarga.

Seorang bekas penagih yang mahu dikenali sebagai Naim, 24, mengakui bahawa sukar untuk dia meninggalkan ketagihan terhadap syabu selepas terjebak pada usia 19 tahun atas alasan mahu mencuba dan pengaruh rakan.

“Pada awalnya saya memang menolak bila diajak rakan, namun lama-kelamaan berasa tertarik. Saya turut berasa lebih fokus dan bertenaga untuk bekerja semasa mula mengambil syabu sehingga akhirnya ketagih.

Keluarga langsung tidak tahu saya menjadi hamba syabu. Selama empat tahun saya dapat menyembunyikannya sehingga akhirnya saya terdetik mahu berubah kerana tidak tahu berapa lama lagi saya boleh berterusan begini.

“Sukar untuk saya berterus-terang dengan keluarga terutama ibu semasa saya meminta dihantar ke pusat pemulihan. Syukur mereka tidak terus menyisihkan saya selepas diberitahu walaupun berasa kecewa,” kata anak bongsu daripada lima beradik ini. 


KELUARGA DATANG MELAWAT

Naim yang sudah dua tahun bebas dadah ditemui pada Program Rasulullah di Hatiku bersama Kes-kes Pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kuantan, baru-baru ini.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah yang menghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Sungai Ruan, Raub, berkata, dia berada di pusat itu selama 11 bulan iaitu bermula pada 2016.

“Saya berterima kasih atas kesanggupan keluarga yang datang melawat beberapa kali tanpa sedikitpun merungut tentang wang yang dihabiskan,” katanya.

Menurutnya, sebagai bekas pelatih PUSPEN, dia tahu perasaan pelatih baru. Jadi, dia bersyukur apabila dipilih untuk menjadi Pembimbing Rakan Sebaya bahagian agama di PUSPEN Sungai Ruan kerana dapat menggunakan pengalaman sendiri.

“Pengisian agama banyak membantu saya sebelum ini, menjadikan saya lebih tenang dan bersemangat untuk pulih. Sudah tentu semangat melawan dadah lebih kuat jika mendapat sokongan keluarga,” katanya.

MASALAH BOLEH PULIH

Pandangan itu dipersetujui pelatih PUSPEN Gambang, Kuantan, yang hanya dikenali sebagai Ahmad, 28, yang telah menjalani program pemulihan selama 10 bulan selepas terjebak dadah sejak berusia 18 tahun.

Mengakui dia pada awalnya memberontak kerana ‘dipaksa’ ke pusat pemulihan, akhirnya ‘sejuk’ apabila melihat anggota keluarga tetap melawatnya setiap bulan walaupun mereka menetap di Terengganu.

“Lama-kelamaan timbul rasa kasihan kepada mereka. Sebenarnya memang tidak pernah pun terfikir saya boleh tinggalkan dadah kerana sudah sebati dalam diri.

“Memang masalah ini boleh dipulihkan, tapi sebenarnya lebih baik jika tidak terjebak. Bila sudah terkena, susah dan hanya bawa keburukan. Lebih sedih bila teringat wajah keluarga yang terluka dengan perbuatan kita,” katanya. –BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN