Jangan jadi kacang lupakan kulit, akui aura Dr. Mahathir faktor PH menang -Wan Saiful - Utusan Malaysia

Jangan jadi kacang lupakan kulit, akui aura Dr. Mahathir faktor PH menang -Wan Saiful

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 21 Dis. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta segelintir pemimpin dalam Pakatan Harapan berhenti menyalahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya Perdana Menteri itu gagal menterjemahkan konsep Malaysia baharu dalam pemerintahan hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, perlu diakui aura Dr. Mahathir adalah faktor kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus berjaya membentuk kerajaan selepas 61 tahun di bawah Barisan Nasional (BN).

Tegas beliau yang juga Setiausaha Bersatu negeri, sepatutnya agenda untuk memperkukuhkan kerajaan perlu diutamakan dan dilakukan secara bersama bagi memastikan kerajaan pada hari ini semakin kuat bukan dengan mempersoal kredibiliti Dr. Mahathir.

“Ada yang kata Dr. Mahathir tidak faham Malaysia baharu, tetapi kita kena ingat hanya dengan kemasukkan Dr. Mahathir (ke dalam Pakatan Harapan) kita melonjak dan mencapai kejayaan dan perkara itu diakui oleh semua pihak.

“Saya tidak pernah baca mana-mana analisis kalau Dr. Mahathir tidak ada, Pakatan Harapan akan menang. Kalau kita persoal kredibiliti Dr. Mahathir kenapa mereka berpayung di bawah Dr. Mahathir. Ini kerana mereka pun sedar kalau Dr. Mahathir tidak ada, takkan menang.

“Bila kita sudah menang, janganlah lupa jasa Dr. Mahathir yang kembali daripada persaraan untuk membantu memulihkan Malaysia. Janganlah kita jadi seperti kacang lupakan kulit,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kelengkapan persekolahan di sini, hari ini.

Semalam, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan gabungan Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan pada hari ini sekiranya objektif Malaysia baharu yang dilaungkan mereka dipinggirkan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dilaporkan berkata, komitmen itu yang membezakan parti tersebut dengan MCA yang disifatkan beliau sebagai ‘lembik’ semasa berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Dalam masa sama, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Datuk Johari Abdul pula menyifatkan
kegagalan memahami konsep Malaysia baharu menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan seperti mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu sekali gus menyebabkan rakyat kecewa.

Johari dilaporkan berkata, selepas Datuk Seri Najib Tun Razak jatuh, Dr. Mahathir seolah-olah tidak tahu berbuat apa-apa dan hanya menghabiskan masa ke luar negara.

Malah, Johari turut mengesa Dr. Mahathir agar berhenti bermain isu Najib sebagai pencuri sedangkan bekas Perdana Menteri itu sudah dihadapkan ke mahkamah dan biarlah pihak berkuasa tentukan.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, Pakatan Harapan perlu sedar, gabungan itu sudah jadi kerajaan dan segelintir pemimpinnya perlu mengelak daripada mempunyai mentaliti pembangkang atau ingin menjadi ‘hero’ mengeluarkan kenyataan yang boleh mengugat kestabilan di dalam gabungan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN