Jangan halang usaha pertahan kesucian agama - Utusan Malaysia

Jangan halang usaha pertahan kesucian agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 6 Dis. – Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin membidas tindakan sesetengah pemimpin Melayu Pakatan Harapan yang mengeluarkan kenyataan menyindir para peserta yang akan menyertai perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 di ibu negara, Sabtu ini.

Beliau secara sinis berkata, tidak sedarkah pemimpin terbabit bahawa merekalah yang menjuarai perhimpunan jalanan suatu ketika dahulu.

Tegas beliau, pemimpin terbabit tidak sepatutnya menasihatkan mereka yang ingin hadir ke perhimpunan untuk mempertahankan kesucian agama Islam itu.

“Saya ‘geli’ dengar apabila (pemimpin) nasihat supaya orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu datangnya daripada Pakatan Harapan.

“Sedangkan dahulu, merekalah yang menjuarai perhimpunan seperti ini. Alasan yang diberikan kononnya membazir apabila menyertai perhimpunan dilihat tidak munasabah.

“Kita lihat pemimpin dahulu yang sanggup masuk penjara, ditahan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan tiba-tiba mereka ini cakap perhimpunan menghabiskan duit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, langkah penganjur meneruskan himpunan aman bagi meraikan kejayaan menolak ICERD sebenarnya lebih merugikan kerana perlu mengeluarkan belanja sendiri.

Kata Mahfuz, wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk perbelanjaan dan pembiayaan sekolah anak-anak pada awal tahun depan.

Sementara itu, Hashim sekali lagi menyeru supaya umat Islam turun beramai-ramai menyertai perhimpunan pada Sabtu ini.

“Kita berkumpul sebarapa ramai yang boleh bagi memberi pengajaran kepada musuh yang hendak melagakan orang Islam.

“Orang Melayu ini ibarat sarang tebuan, sarang tebuan tidak ganggu orang tetapi kita jangan pergi jolok, jangan kacau nanti dia akan serang balik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN