KUALA LUMPUR 2 Dis. – Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengingatkan pemain Harimau Malaya agar jangan terlalu memandang tinggi keupayaan Thailand hingga membuatkan mereka ‘kecut perut’ apabila memasuki tempat lawan dalam separuh akhir kedua Piala AFF di Bangkok, Rabu ini.
Biarpun anak-anak buah Tan Cheng Hoe itu bakal berdepan ribuan penonton tuan rumah yang akan menggamatkan Stadium Rajamangala, namun Chong Wei mahu mereka ingat bahawa doa jutaan rakyat Malaysia sentiasa mengiringi perjuangan skuad kebangsaan.
“Saya tengok perlawanan semalam, mereka bermain bagus dan sebenarnya boleh menang. Saya percaya, mereka ada kemampuan menang satu gol di Thailand atau sekurang-kurangnya seri 1-1.
“Apabila kita masuk tempat orang nanti, yang penting jangan putus asa dan kekalkan semangat tinggi. Ingat, kami rakyat Malaysia sentiasa berada di belakang Harimau Malaya,” kata pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu kepada Utusan Online.
Skuad Harimau Malaya menunjukkan permainan baik dalam separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam dengan melancarkan serangan bertali arus, malangnya kesemua percubaan gagal diterjemahkan menjadi gol dan seri 0-0.
Malaysia, juara 2010 hanya perlu mencatat keputusan seri bersama jaringan untuk mencari tiket final buat kali keempat selepas 1996, 2010 dan 2014.
Thailand, yang meledak 14 gol dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan di tempat sendiri tahun ini, turun dengan reputasi sebagai juara lima kali – 1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016. – UTUSAN ONLINE










