KOTA BHARU 10 Dis. – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu bekas jeneral The Red Warriors (TRW) Mohd. Badhri Radzi atau lebih dikenali dengan Piya tidak ‘geger’ (bising) dalam isu tunggakan gaji yang sedang dialaminya ketika ini.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, ketika ini badan induk itu sedang berusaha mencari jalan terbaik termasuklah melakukan perundingan dengan Mohd. Badhri bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Menurutnya, sebelum ini Kafa pernah beberapa kali menyatakan hasrat untuk bertemu pemain berkenaan berhubung isu tunggakan gaji, namun tidak mendapat respon postif.
“Bukan hanya Kafa dan Setiausaha Agung, malah saya sendiri memanggilnya dan menjemput beliau ke satu majlis.
“Namun Piya tidak hadir untuk melakukan perbincangan berhubungan perkara berkenaan dengan alasan sibuk dengan urusan di Ibu Kota,” katanya.
Utusan Online semalam melaporkan, Mohd. Badhri kecewa dengan sikap membisu Kafa berhubung tunggakan gajinya yang masih belum dilunaskan oleh badan induk itu.
Bibi Ramjani memberitahu, Kafa tidak pernah membisu atau lari daripada tanggungjawab tersebut.
Katanya, mereka sentiasa bekerja keras untuk menyelesaikan masalah itu demi menjaga kebajikan pemain. – UTUSAN ONLINE










